Ajinomoto Mencipta Pembungkusan "Bahan Mono" Mesra Alam

Ajinomoto Developed Environmental-Friendly “Mono-Material” Packaging

KUALA LUMPUR, 9 Julai 2021 – Kumpulan Ajinomoto (Ajinomoto) telah bekerjasama dengan para pelanggan serta masyarakat untuk menyumbang terhadap kehidupan bersama yang lebih harmoni dengan alam sekitar. Dalam usaha untuk mewujudkan "Masyarakat Berorientasikan Kitar Semula" yang lestari, Ajinomoto telah memperkenalkan pembungkusan bahan mono yang boleh dikitar semula dengan tujuan untuk mencapai sisa sifar, terutamanya melalui kitar semula bahan dan bahan kimia.

Bagi mencapai matlamat ini, Ajinomoto berusaha untuk memaksimumkan penggunaan sumber dengan mengurangkan kuantiti plastik yang digunakan dalam pembungkusan serta mencipta bahan dan teknologi baru yang akan membolehkan ianya dikitar semula sebagai sumber dan bukannya sampah. Pembungkusan bahan mono tersebut diperbuat dari bahan-bahan yang mesra alam, yang terdiri daripada 90% bahan yang sama.

Selaras dengan inisiatif Penciptaan Nilai Bersama oleh Kumpulan Ajinomoto (ASV) untuk mempromosikan kemampanan global, Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) telah mempelopori penerapan bahan mono di Malaysia untuk pembungkusan bagi produk terlarisnya, Perencah Umami AJI-NO-MOTO® 72g (Penambah Perisa), sejak Mei 2021. Dengan rancangan untuk memajukan inisiatif ini, AMB mensasarkan perkembangan penggunaan bahan mono pada masa hadapan dalam pembungkusan produk AJI-NO-MOTO® yang lain. Logo ‘Kitar Semula’ akan dipaparkan di bahagian belakang pembungkusan bahan mono barunya bagi mendorong para pengguna untuk mengitar semula bungkusan setelah digunakan.

Dengan usaha ini, Ajinomoto berhasrat dan berharap agar dapat mencapai sifar sisa plastik menjelang tahun kewangan 2030. Ayuhlah bekerjasama demi menjaga persekitaran kita sambil “Eat Well, Live Well” bersama Ajinomoto.