Ajinomoto (Malaysia) Berhad curi tumpuan di Anugerah ESG PLUS 2025 atas Inisiatif Alam Sekitar dan Tenaga Bersih

KUALA LUMPUR, 11 DISEMBER 2025 — Ajinomoto (Malaysia) Berhad menerima pengiktirafan sebagai Peneraju Kelestarian di Anugerah ESG PLUS 2025, apabila meraih dua anugerah berprestij bagi pencapaian dalam Ekonomi Kitaran dan Pengurusan Sisa serta Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Bersih dalam majlis yang berlangsung pada 10 Disember 2025 di Hotel Sheraton, Kuala Lumpur.
Anugerah ESG PLUS merupakan platform yang mengiktiraf organisasi dan individu yang menerajui amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang berkesan. Bertujuan menginspirasikan kepimpinan perniagaan yang bertanggungjawab, anugerah ini meraikan pencapaian cemerlang dan menggalakkan syarikat di seluruh ASEAN untuk mengintegrasikan kelestarian dalam strategi pertumbuhan jangka panjang mereka. Program ini memberi penekanan kepada pemuliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial, tadbir urus yang mantap, inovasi berasaskan ESG dan kepimpinan dalam kelestarian sekali gus mengukuhkan bahawa ESG merupakan keutamaan penting dalam dunia perniagaan masa kini.
Ajinomoto (Malaysia) Berhad mencuri tumpuan dalam kalangan pemain serantau apabila meraih dua pengiktirafan utama yang diserahkan secara simbolik kepada Encik Ramesh Sadiappan, Timbalan Pengurus Kilang merangkap Penyelaras ESG, sekali gus menyerlahkan peranan aktif Ajinomoto (Malaysia) Berhad dalam memacu agenda kelestarian.

Anugerah pertama, Ekonomi Kitaran dan Pengurusan Sisa, mencerminkan usaha Ajinomoto (Malaysia) Berhad dalam mengurangkan sisa dan menggunakan sumber dengan lebih cekap. Syarikat telah melaksanakan pendekatan 4R dalam pengurusan sisa, menukar enapcemar air sisa kepada baja bio yang diluluskan, serta menggantikan pembungkusan Non-PO Mix yang tidak boleh dikitar semula dengan pembungkusan mono-plastik PO Mix yang boleh dikitar semula bagi AJI-NO-MOTO® Umami Seasoning.
Sumbangan Ajinomoto (Malaysia) Berhad juga melangkaui operasi syarikat melalui usaha mengalih sisa yang tidak boleh dikitar semula bagi penghasilan bahan bakar daripada sisa (RDF), sekali gus membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) secara signifikan. Syarikat turut memainkan peranan aktif sebagai penyumbang utama kepada Malaysian Recycling Alliance (MAREA), menyokong inisiatif negara untuk memperkukuh Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) di Malaysia.
Anugerah kedua, Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Bersih, mengiktiraf pelaburan masa depan Ajinomoto (Malaysia) Berhad di Kilang Pintar di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, yang direka untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, bahan dan air. Kilang ini dilengkapi sistem solar fotovolta (PV) 4.2 MW yang menjana kira-kira 4,500 MWh tenaga bersih setiap tahun, meraih pensijilan CVA GOLD di bawah Indeks Bangunan Hijau (GBI), serta menjalani Audit Tenaga untuk mengenal pasti penambahbaikan kecekapan.
Pencapaian ini mengukuhkan komitmen Ajinomoto (Malaysia) Berhad dalam memajukan perjalanan ESG, sambil terus memperkukuh prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta mencipta impak positif berkekalan kepada pemegang kepentingan dan kelestarian perniagaan.