Ajinomoto (Malaysia) Berhad, LVNS Jalin Kerjasama Perkasa Penyelidik Muda di Majlis Penganugerahan Science Castle 2024

 

KUALA LUMPUR, 2 MEI 2024 – Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) mengumumkan kerjasama dengan Leave a Nest (LVNS) di Majlis Penganugerahan Science Castle 2024 yang merupakan sebahagian Penciptaan Nilai Bersama (ASV)1  oleh Kumpulan Ajinomoto untuk menyumbang kepada masyarakat.

Lima pasukan dari beberapa sekolah menengah telah dipilih selepas saringan dan sebanyak RM2,000 telah diberikan kepada setiap pasukan untuk melakukan penyelidikan selama lima bulan.

Majlis yang berlangsung pada 2 Mei 2024 bersama bengkel sensori di Kilang AMB, Bandar Enstek, Negeri Sembilan ini menekankan komitmen AMB terhadap pendidikan, inovasi dan memupuk penyelidik muda terhadap sains.

Objektif utama Majlis Penganugerahan Science Castle 2024 ialah mencipta inovasi baharu dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif kepada pelajar selain memberi dorongan serta semangat dalam penyelidikan mereka.

Ia dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk memberi sumbangan terhadap kemampanan global, selari dengan visi syarikat untuk memfokuskan lima tema berkaitan sains dan teknologi.

Lima tema penyelidikan tersebut melibatkan produk makanan mampan yang menggunakan bahan tempatan, inovasi dalam produk kesihatan dan kesejahteraan, kelazatan makanan, pembungkusan makanan dan pengurusan sisa makanan.

Pada masa sama, program ini juga melibatkan proses bimbingan kepada pelajar di mana pihak LVNS dan AMB akan menjadi mentor untuk membimbing setiap pasukan terhadap projek penyelidikan mereka.

Pasukan yang disenarai pendek berpeluang membentangkan hasil penyelidikan mereka di Persidangan Science Castle in Asia 2024 pada 19 dan 20 Oktober 2024 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya.

AMB turut komited dalam memupuk potensi baharu dalam kalangan belia dan memberikan motivasi kepada mereka untuk mendalami bidang sains dan teknologi.

Ayuh menjadi sebahagian daripada perjalanan ke arah kecemerlangan saintifik bersama AMB dan LVNS. Bersama-sama, kita dapat memberi inspirasi dan memperkasakan pemimpin muda membentuk masa depan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Majlis ini, sila layari https://s-castle.com/en/grant/ atau ikuti platform media sosial Ajinomoto Malaysia: Facebook @ Ajinomoto Malaysia; Instagram @myajinomoto.


Penciptaan Nilai Bersama (ASV)1
satu inisiatif yang bertujuan untuk mewujudkan nilai sosial dan ekonomi.

Siaran Akhbar