Bagaimanakah Maklumat Mempengaruhi Makanan yang Kita Ambil?

Kesan Maklumat terhadap Pengalaman Pemakanan

Sejak bertahun-tahun Ajinomoto Co, Inc. (“Ajinomoto Co.”) telah menyebarkan maklumat tentang umami, MSG, makanan dan nutrisi untuk membantu orang ramai di Jepun dan seluruh dunia untuk makan dan hidup dengan baik.

Contoh terkini adalah pada 11 Disember 2017. Ajinomoto Co. telah menaja acara “Nature Café” yang dianjurkan oleh Nature Research yang menerbitkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi melalui jurnal berprestij Nature. Tujuannya adalah untuk mengadakan persidangan saintifik tradisional, tetapi dalam suasana yang agak santai bagi menggalakkan perbincangan.

Tema Nature Café adalah “Rasai Sains, Budaya dan Komunikasi.” Penceramah terkenal dari Amerika Syarikat, Jerman, UK dan Jepun telah menyumbangkan kepakaran mereka dalam perbincangan meluas mengenai mekanisme fisiologi rasa, sebab kita menyukai sesuatu rasa itu, pelbagai faktor yang membentuk pengalaman perisa dan impak maklumat terhadap diet kita.

Perbezaan antara Rasa dan Perisa

Kita lazimnya menggunakan perkataan “rasa” dan “perisa” secara bertukar ganti. Tetapi secara saintifiknya perkataan tersebut mempunyai makna yang sangat berbeza.

Rasa adalah salah satu daripada lima deria asas manusia. Menurut Nicholas Ryba, Penyiasat Utama di Institut Penyelidikan Pergigian dan Kraniofasial Kebangsaan, AS, dan salah seorang penyelidik yang bertanggungjawab dalam menemui reseptor rasa umami pada lidah manusia, hal ini bermakna rasa telah terbina dalam lidah dan otak, dan kita tidak belajar tentang rasa berdasarkan pengalaman. Buktinya, bayi yang baru lahir menunjukkan keinginan yang kuat terhadap rasa manis selepas beberapa jam mereka dilahirkan. Bayi ini tidak perlu belajar makna “manis”, atau manis itu yang mereka suka. Hal ini kerana keinginan untuk kemanisan sudah “terbina” dalam sistem manusia. Dengan kata lain, rasa ialah pengalaman objektif, dikesan pada lidah dan diproses oleh otak.

Sebaliknya, menurut Kathrin Ohla iaitu Ketua Kumpulan di Institut Nutrisi Manusia Jerman, perisa itu lebih rumit. Hal ini kerana ia melibatkan kesemua lima deria kita iaitu penglihatan, bunyi, bau, sentuhan, dan tentunya, rasa. Perkara ini mungkin agak rumit untuk difahami, tetapi cuba fikirkan: adakah kita akan menyukai kopi yang tidak berbau harum? Adakah kita akan menikmati makan di restoran mewah sekiranya makanannya nampak tidak menyelerakan? Adakah aiskrim enak dimakan sekiranya ia keras dan panas dan bukannya lembut dan sejuk?

Klik di sini untuk membaca lebih lanjut!