Kempen Kesedaran Keselamatan, Kesihatan Dan Persekitaran Ajinomoto

KUALA LUMPUR, 26 APRIL 2018 – Rakyat Malaysia lazimnya menghabiskan sebahagian besar masa di tempat kerja masing-masing. Hampir semua tempat kerja terdedah kepada bahaya dan risiko sama ada secara fizikal, biologi, kimia, ergonomik atau psikososial. Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) menyediakan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat dan sihat untuk semua kakitangan sebagai satu komitmen yang tidak berbelah bahagi.

Selaras dengan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan AMB, syarikat ini telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Minggu Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE) dengan slogan “Fikir Keselamatan, Kerja Selamat”. Program ini telah dilancarkan di premis AMB, Kuchai Lama oleh Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan AMB, Cik Naoko Yamamoto bersama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Norlin Jaafar.

Semasa upacara pelancaran program ini berlangsung, Encik Ramesh Sadiappan, Pengurus bertanggungjawab dalam Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran telah menekankan dua objektif utama program ini. Pertama, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, penglibatan dan komitmen kakitangan terhadap keselamatan, kesihatan dan keperluan persekitaran, amalan serta peraturan dan undang-undang secara berterusan. Kedua, program ini diharapkan dapat menanamkan budaya SHE dalam operasi harian untuk meningkatkan keberkesanan menjangkakan sebarang bentuk risiko di tempat kerja.

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan melalui kerjasama organisasi luar yang berkaitan termasuklah pihak berkuasa. Demonstrasi memadamkan kebakaran telah diadakan dengan sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) manakala pemeriksaan kesihatan dan ceramah kesihatan pula diadakan dengan kerjasama Hospital Columbia Asia. Anggota polis juga turut dijemput untuk memberikan ceramah tentang “Pencegahan Kemalangan Jalan Raya” manakala wakil dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada di sana untuk pameran mengenai Pemeliharaan dan Pengurusan Alam Sekitar. Di samping itu, aktiviti-aktiviti seperti latihan pertolongan cemas dan bantuan pernafasan, taklimat pengurusan sisa pepejal dan pencarian harta karun SHE telah menjadi satu lagi acara penting dalam Minggu SHE.

Melalui aktiviti-aktiviti tersebut, kesedaran terhadap Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran telah disemai dalam diri kakitangan AMB. Selain itu, mereka dapat menambahkan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran untuk terus mengamalkan penyediaan tempat kerja yang lebih selamat dan bersih dalam rutin harian.

Siaran Akhbar