Kilang Baharu Ajinomoto Berjumlah RM355 juta di Hab Halal Bandar Enstek

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2019 – Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) melaburkan RM355 juta untuk membina kilang baharu termasuk Pejabat Korporat AMB di Techpark@Enstek, Bandar Enstek, Negeri Sembilan, di mana pembinaannya dirancang akan bermula pada Oktober 2019 dan sekiranya berjalan lancar, dijangka siap menjelang Mac 2022. Ini berikutan pengumuman pemerolehan tanah yang dibuat oleh Syarikat pada Februari 2018.

Pada masa ini kilang AMB terletak di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, yang sedang mengalami pembangunan pesat dari segi komersial, kediaman dan infrastruktur. Keputusan untuk memindahkan kilang tersebut adalah selaras dengan pelan pengembangan perniagaan Syarikat.

Hab Halal Techpark@Enstek dipilih sebagai tapak yang sesuai untuk memantapkan status Syarikat sebagai pembuat produk makanan halal yang diperakui dan terkemuka. Kilang baharu tersebut akan mengukuhkan lagi fungsi pembangunan dan pengeluaran AMB yang unik dalam membekalkan produk dan ramuan khusus yang halal. Kilang tersebut akan mengekalkan pengiktirafan “Senarai Putih” (pengiktirafan paling tinggi daripada JAKIM) untuk memberikan nilai tambahan kepada komuniti setempat dan mengembangkan lagi eksport produk makanan halal ke ASEAN dan negara-negara Islam di seluruh dunia.

Kilang baharu tersebut akan terus mengeluarkan produk popular Syarikat iaitu perencah umami AJI-NO-MOTO®, perencah TUMIX®, Rasa Sifu™, AJI-SHIO®, perencah khusus untuk menu SERI-AJI® dan produk pengguna lain, serta produk bagi pengeluar makanan industri seperti “Tencho”. AMB menyasarkan untuk menjadi Pusat Pengeluaran dan Ramuan Khusus Halal Global untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perencah dan produk makanan halal di pasaran tempatan dan global.

Selain itu, penggunaan teknologi terkini di kilang baharu tersebut akan mengoptimumkan operasi melalui automasi dan digitalisasi, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan persekitaran yang kondusif serta mesra pekerja.

Sejak penubuhannya, Kumpulan Ajinomoto telah memberi tumpuan kepada penyelesaian isu sosial melalui aktiviti perniagaannya di seluruh dunia. Kejayaannya berlandaskan penghasilan nilai bersama dengan komuniti setempat dan masyarakat yang lebih luas. Kumpulan telah menjadikan prinsip ini sebagai nadi perniagaannya: Penciptaan Nilai Bersama Kumpulan Ajinomoto (ASV).

AMB akan mengukuhkan prinsip ASV di kilang baharu dengan reka bentuk bercirikan tanggungjawab sosial yang menggabungkan kemudahan untuk menggalakkan penglibatan dan program pembangunan komuniti seperti lawatan kilang, kelas memasak dan lain-lain aktiviti komuniti. Dalam usaha mesra alam, kilang baharu tersebut akan terus meneroka cara untuk menangani isu pemanasan global dan isu alam sekitar seperti mengurangkan pengeluaran gas Karbon Dioksida (CO2) dengan menukar sumber haba daripada minyak bahan api kepada gas asli, dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti solar sebagai alternatif.

Melangkah ke hadapan, AMB bersama dengan kilang baharunya akan terus menyumbang kepada kelestarian masyarakat dan alam sekitar. Syarikat akan bekerjasama dengan pelanggannya dan komuniti setempat merentasi rantaian nilai, bermula daripada peringkat pengeluaran hinggalah penggunaan, sewaktu ia berusaha untuk menjadi syarikat produk makanan yang paling dipercayai dan disukai di Malaysia.

Siaran Akhbar